Thursday, May 8, 2008

BEGINIKAH CINTA SEORANG KAWAN?

Aku bersyukur kepada Allah S.W.T., kerana Dia aku berada di sini sekarang. Salah seorang pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke puncak menara gading. Dan juga kerana semangat yang diberikan oleh kawan baik aku, walaupun hanya sekadar dengan kata-kata ringkas, ‘belajar rajin-rajin’.
Aku berasa bersalah kerana membuang terus kawan baik aku itu. Aku telah tetap kan hati aku untuk tidak lagi menganggap dia pernah menjadi kawan aku. Apatah lagi kehadiran dia untuk meraih cinta aku yang telah lama aku kuburkan. Salah dia juga. Walaupun aku terpisah dari dia, aku masih ingat zaman itu…
“Woi Jan!” Sapa Zikri dalam suara yang agak berbisik. Ye lah, waktu tu Cikgu Nabila sedang mengajar, semua orang tahu Cikgu tu garang.
“Hmm..” Jawab aku ringkas.
“Petang ni jadi tak teman aku pergi beli kasut bola, kau dah janji kan?”
“Tengok la dulu.”
Petang tu lepas sekolah, sepetang aku teman kan Zikri cari kasut bola dia, dah la cerewet, payah betul. Yang ni tak cantik, yang ni tak smart, yang ni tak kuat, macam-macam lah. Tapi akhirnya, kasut yang paling banyak terima komen daripada dia juga yang dipilihnya. Pelik!
Lama aku kenal Zikri, masa ambil keputusan UPSR, itulah detik aku mengenali dia. Bila masuk tingkatan 1, kebetulan kami kelas yang sama. Sejak tu kami berkawan hinggalah ke tingkatan 5, dan kami berkawan baik.
“Jan, Aida tu cantik kan? Dah la lawa, lembut, sopan. Tak macam kau, kasar!” Pedih betul ayat Zikri, tapi waktu tu aku tak ambil pusing dengan ayat dia. Memang aku macam tu.
“Memang la Aida tu lawa. Tapi lantak aku la, aku nak kasar ke keras ke. Setidak-tidaknya aku tak la mengada-ngada macam awek-awek lain yang kau cuba ngorat tu kan.”
“Ai, marah ke Jan? Aku melawak je la. Sorry ye…”
“Loh, yang minta maaf apasal? Kau juga yang kata aku kasar. Biasa la ayat aku tu, macam tak biasa pulak.”
“Hmm…aku tanya pasal Aida tu kan sebab aku rasa aku suka dia la. Apa pendapat kau?”
“Kau banyak sangat la perempuan yang kau suka, asal lawa sikit je, kau suka. Entah lah. Ikut suka kau lah kalau kau nak suka.”
Sejak Zikri mula rapat dengan Aida, hubungan aku dengan Zikri mula renggang. Sebelum ni dengan perempuan lain tak macam ni, dia cuma suka-suka je. Mungkin Aida dan Zikri dah bercinta dan bagi Zikri, dia tak perlu lagi kawan seperti aku. Tapi, aku tak terdaya menahan rindu. Sebenarnya aku suka dia sejak aku kenal dia lagi dan perasaan suka bertukar sayang semenjak kami berkawan rapat. Aku abaikan saja perasaan aku tu, kerana dia masih lagi bersama aku walaupun sebagai kawan, tapi bila dia hilang macam ni, terseksa rasanya.
Pada suatu hari, aku mendapat satu nota dari Zikri. Dia nak jumpa aku petang ni, lepas sekolah kat kantin. Kenapa ye?
“Jan…” Tegur Zikri.
“Ha…kenapa tiba-tiba nak jumpa aku ni…?”
“Kita duduk dulu okay.” Ajak Zikri. Bila kami dah duduk secara berhadapan. Suasana jadi bisu sementara. Apa yang pasti, aku tak kan bersuara dulu, dia yang ajak aku jumpa so dia lah yang sepatutnya mula cerita dulu.
“Hmm…Jan, sebenarnya aku nak minta maaf.” Diam.
“Aku tahu, aku dah lama tak jumpa kau, bersembang dengan kau.” Zikri menyambung sisa-sisa ayatnya perlahan-lahan.
“Jadi?”
“Sebenarnya aku rindu kan kau. Mana-mana perempuan yang aku kenal semua tak macam kau. Aku lebih selesa dengan kau.” Zikri diam, mungkin menunggu butir-butir bicara daripada aku. Tapi saat itu, hati aku dah berbunga-bunga, aku rasa perasaan sayang aku pada dia makin mendalam.
“Kalau macam tu kenapa kau hilangkan diri? Kalau ye pun kau bercinta dengan Aida, tak kan nak berkawan dengan aku macam biasa dah tak boleh?” Aku masih slumber dan cuba sembunyikan perasaan aku agar Zikri tak perasan apa-apa. Malu aku jika dia tahu.
“Kau sayang kan aku tak?” Aku terkejut terdengar soalan ini terpacul dari bibir Zikri. Lama aku diam. “Sayang tak?” Zikri masih lagi bertanya.
“Sayang, kau kan kawan aku.” Itu jawapan yang aku mampu beri.
“Tak lebih dari tu? Tapi aku sayang kan kau lebih dari seorang kawan.” Lama Zikri diam, tapi aku masih tak bersuara.
“Tapi, aku suka kan Aida. Kalau boleh aku nak sayang dia, tapi aku nak dia pun sayang kan aku. Kau faham kan?”
“Tak.” Aku jadi keliru dengan Zikri. Apa yang sebenarnya dia cuba sampaikan? Dia sayang aku lebih dari seorang kawan tapi dalam masa yang sama dia nak sayang kan Aida. Apa ni???
“Jan, aku suka Aida, dia cantik, lemah-lembut, baik, sopan orang nya, tapi dia tak memahami aku macam mana kau memahami aku.”
“Aku takut aku dengan dia tak bertahan lama. Jadi aku nak kau tetap sayang kan aku macam sekarang ni. Aku nak kau sentiasa tunggu aku untuk aku boleh jadi kawan kau sampai bila-bila. Boleh kan Jan?”
“Pelik lah kau ni. Kau memang kawan aku kan? Jadi, apa masalah nya? Kita kawan je lah macam biasa.”
“Aida cemburu la Jan dengan kau, dia tak nak aku rapat dengan kau, dia jealous. Aku tak nak kehilangan dia jadi…” Zikri diam lagi.
“Jadi kau lebih sanggup kehilangan aku, tu maksud kau?” Aku cuba sambung ayat Zikri yang tergantung tu.

“Tak. Entah lah Jan. Tapi satu je aku harap, kau akan tetap tunggu aku.”
“Okay.” Dengan nada yang agak tegas aku lemparkan, lalu aku bangun dan tiba-tiba Zikri bersuara.
“Belajar rajin-rajin ye Jan.” Aku terus berlalu pergi tanpa berkata apa-apa, rasa malas nak duduk situ lama-lama. Rasa sakit hati.
Sejak itu, aku tidak lagi mempunyai kawan bernama Zikri. Tapi entah kenapa, aku masih lagi menganggap dia kawan aku. Dan perasaan sayang aku terhadap dia masih utuh dalam hati aku. Hampir setahun aku kehilangan dia, walau pun kami masih sekelas tapi kami tak pernah bertegur-sapa semata-mata kerana menjaga hati Aida. Tapi aku tak kan buat macam tu kalau bukan Zikri sendiri yang minta dulu. Biarlah… Semenjak itu juga, aku jadi lebih pendiam.
Pada suatu hari, aku terdengar perbualan antara Zikri dan Amirul dalam kelas. Waktu tu waktu rehat. Kebetulan aku tertinggal dompet dalam beg sekolah, dan bila aku patah balik ke kelas, aku terdengar suara Zikri bila menghampiri kelas. Aku tak teragak-agak ke belakang kelas dan berdiri di sebalik dinding dan cuba mendengar perbualan mereka.
“Entah lah Irul, mesti ramai lagi yang pelik kenapa aku dengan Jan dan tak serapat dulu.” Ucap Zikri. Mungkin Amirul bertanya pada Zikri mengenai persahabatan kami.
“Tapi kau dengan Jan kan dah kenal lama, rapat pulak tu. Tak kan sebab Aida je kau dengan Jan dah tak boleh berkawan?” Tanya Amirul pada Zikri.
“Aku sebenarnya tahu Irul, Jan sebenarnya suka kan aku dan mungkin sayang aku lebih dari seorang kawan. Tapi, kalau kau jadi aku, kau akan pilih perempuan yang macam mana? Lemah-lembut macam Aida ke atau agak kasar macam Jan tu?”
Aku cuba menahan sebak. Tapi hati aku dah betul-betul rapuh tatkala mendengar kata-kata Zikri.
“Memang lah pilih macam Aida. Tapi, kau pun tahu kan Aida tu ramai peminat, dia pula tak kurang juga menggatalnya. Kalau boleh semua dia nak melayan. Betul kan, kau pun penah bagitahu aku dulu yang dia macam tu.” Amirul masih lagi menimbulkan persoalan pada Zikri.
“Hmm…aku tahu. Aida memang macam tu tapi aku suka dia, nak buat macam mana. Tapi kan Irul, kau jangan bagitahu sapa-sapa yang sebenarnya aku pun sayang kan si Jan tu, dia tu lain tau. Dia faham sangat aku.”
“Habis tu? Apasal kau tak couple je dengan Jan tu? Kan senang, kau sayang dia, dia pun sayang kan kau.”
“Ala, Irul. Tapi Aida tu lawa la, lagipun dia tak kasar macam Jan. Tapi kan Irul, seandainya la aku dengan Aida tak bertahan lama, aku tahu Jan akan terima aku kalau aku nak kan dia. Aku tahu dia tak kan sampai hati buat hati aku terluka.” Penuh keyakinan kata-kata Zikri.
Memang benar, aku tak sanggup melihat Zikri kecewa, jika itu yang dia mahu. Aku sanggup. Tapi aku bukan boneka. Aku tak dapat menahan sebak dalam hati, aku berlari ke tandas dan menangis sepuas-puasnya. Aku tak sangka itu harapan Zikri terhadap aku. Meminta aku menanti dia hanya apabila Aida tak lagi bersama dia. Aku betul-betul bagaikan ‘spare part’ bagi Zikri. Sejak detik itu, aku cuba membunuh perasaan aku terhadap Zikri. Aku tak mahu menganggap dia pernah menjadi kawan aku lagi. Mungkin aku dah mula benci dia.
Aku terus menjadi pendiam. Aku tak sedar perubahan dalam diri aku, kata-kata aku tak lagi sekasar dulu, mungkin kerana aku lebih banyak mendiamkan diri. Aku lebih kewanitaan, dari segi pemakaian, cara berjalan, cara bertutur, segalanya berubah. Tapi, itu bukan kerana aku cuba mencuri hati Zikri walaupun waktu itu Zikri mula mendekati aku. Entahlah kenapa aku berubah.
Hari terakhir aku menduduki peperiksaan SPM, kertas Kimia. Pada hari itu juga aku telah mengirimkan Zikri dengan satu utusan.


Mohd Kamarul Zikri,


Terima kasih di atas ungkapan awak dulu…
Masih segar dalam ingatan saya,
“Belajar rajin-rajin”
Terima kasih kerana menaikkan semangat saya untuk belajar…
Mungkin dengan kata-kata itu, ia boleh membawa saya ke puncak lebih tinggi…
Terima kasih…
Dengan ungkapan ringkas penuh makna itu

Terima kasih jua atas kejayaan awak
Menjadikan saya seorang insan
Yang setia menanti tanpa penghujung suatu ketika dulu
Terima kasih kerana awak berjaya
Memenuhi hati saya dengan seribu persoalan
Terima kasih kerana sehingga kini
Awak biarkan saya menanti jawapan Yang semestinya akan terus menjadi persoalan
Terima kasih dengan kejayaan awak
Mewujudkan ribut taufan di hati saya
Tahniah kerana awak berjaya mengguris hati saya
Yang sebelum ini tidak pernah digurisi
Tahniah kerana awak orang pertama untuk itu
Dan juga merupakan kawan baik saya suatu ketika dulu

Maafkan saya dengan hati dan perasaan saya
Bukan itu yang saya pinta
Ia datang tanpa dipaksa
Maafkan saya jika diri ini hadir menyusahkan awak
Maafkan saya sekiranya membuatkan awak keliru
Jika tidak…?
Terima kasih kerana awak tidak
Memahami langsung hati dan perasaan saya…

Saya sedar siapa diri saya Zikri
Mungkin diri ini bukan wanita yang awak idamkan
Mungkin diri ini tiada ciri-ciri yang awak impikan
Mungkin diri ini terlalu banyak kekurangan untuk awak
Tapi…, saya tetap manusia biasa
Punya perasaan
Adakah ini juga saya yang harus dipersalahkan…???
Saya tidak terdaya menolak perasaan
Yang senantiasa berombak dalam hati saya
Lalu, saya biarkan ia pergi…
Tapi kini, ia bertukar kepada kesengsaraan
Jika awak terkilan hati…
Percayalah…
Saya seribu kali lebih terkilan daripada awak…

Awak…
Maafkan saya jika apa yang saya
Coretkan menyinggung hati dan perasaan awak
Tapi jika tidak dicoretkan
Pasti hati ini lebih pilu
Saya harap awak memahaminya
Maafkan lah diri ini…

Awak…
Maafkan saya jika ayat yang saya gunakan penuh berbunga-bunga
Mungkin awak pelik, beginikah ayat yang digunakan oleh seorang yang bernama Jan!
Tapi jika ayat yang diguna hanya berteraskan daun dan batang tanpa bunga
Saya pasti awak tidak memahami
Apa yang selama ini terpendam di hati saya…
Maafkan saya, saya ingin putuskan persahabatan ini
Walau pun agak sukar, tapi itu terbaik untuk kita
Jika awak betul-betul memahami keadaan dan perasaan saya…
Awak pasti memaafkan saya…


Nurul Janatul Natasha
Dalam tidak sedar, air mata aku mengalir tatkala kiriman ini dikarang...
Bukan kerana cinta yang aku bunuh...
Tapi persahabatan yang tak mampu aku selamatkan...
Kerana jiwa aku betul-betul terluka...
'MAAFKAN AKU ZIKRI............'

3 comments:

Unknown said...

gila panjang.... penat tau bc!!

nicegirlz said...

azizulhafiz
hmm...itu la..
pelik jugak...
sbb x pandai nk menulis kot...
susah nk abiskan cerita..

sorry la ye..
cian awk baca..
TQ

khairibasitah said...

quite depressed